RAKYAT Kedah tidak sepatutnya termakan dengan hasutan politik yang merugikan, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Razlan Rafii.
Beliau berkata, tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyifatkan Rumah Terbuka Kerajaan Madani yang dirancang diadakan di negeri itu sebagai pembaziran, didakwa bermotifkan politik semata-mata.
“Isu terbaru, Rumah Terbuka Kerajaan Madani dirancang buat di Kedah, dijemput rakyat setempat, ada pemimpin yang membakar isu Pembaziran, kesian kepada rakyat, kebiasaan mereka dijamu, kali ini, pemimpin PAS seperti biasa, merah mata, terasa terancam, kononnya ianya pembaziran.
“Perkataan Pembaziran segaja dibangkitkan, hakikatnya, tidak mahu kerajaan melayani rakyat sebaiknya.
“Jadi, kita sebagai Rakyat sepatutnya tidak termakan dengan hasutan politik yang merugikan ini,” katanya di Facebook.
Mengulas mengenainya, Mohd Razlan berkata, kenduri rakyat itu perkara biasa, namun tindakan pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang menghasut rakyat Kedah sebagai satu pembaziran adalah politik sempit pembangkang.
“Namun apa pemimpin seperti PAS dan PN ini ambil peduli tentang meraikan rakyat? Mereka lebih rela rakyat dibiarkan memakan hati daripada mendapat layanan kerajaan pusat.
“Sudah pastinya, rakyat di Kedah dan sekeliling akan merasai kemeriahan Hari Raya, diraikan dengan pelbagai program yang dirancang sebelum hari lebaran.
“Apabila Sanusi berkata sepatutnya rumah terbuka dibuat di Putrajaya, apa salah bila buat di negeri lain dengan perbelanjaan yang jimat sekira dibanding dengan Putrajaya,” katanya.
Mohd Razlan menjelaskan, perbelanjaan rumah terbuka Perdana Menteri di Putrajaya jauh lebih mahal berbanding di negeri-negeri lain.
“Jemputan mencecah puluhan ribu dan persiapan di Seri Perdana boleh mencecah sehingga jutaan ringgit, ini adalah kelaziman, dan tidak salah sekira wang itu dapat diagihkan kepada negeri-negeri untuk jamuan rakyat setempat, lebih manfaat. Kalau di Putrajaya itu, tetamunya ramai rakyat luar negara yang bekerja di Malaysia.
“Sanusi patut berbangga dan berterima kasih kepada kerajaan pusat memeriahkan Aidilfitri di Kedah, memberi makan dan minum serta program raya untuk dinikmati rakyat Kedah.
“Tapi, apa yang dibangkitkan oleh MB ini bukan satu kejutan, beliau memang suka dengan kontroversi dan sanggup menghasut,” katanya.
Mohd Razlan berkata, sambutan Aidilfitri kali ini jauh berbeza dengan tahun sebelumnya yang disekat dengan pelbagai SOP kerana Covid-19.
Justeru, katanya, ia seharusnya disambut lebih meriah kerana semua program boleh dilaksanakan tanpa ada sekatan dan SOP.
“Sambutlah Aidilfitri ini dengan penuh kebebasan dan keceriaan, lupakan kisah silam raya dengan SOP dan sekatan.
“Jangan cemari Syawal ini dengan politik sempit dan menghasut seperti mereka,” katanya. – Malaysiapost