PAS berterusan ‘menyerang’ penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri dengan melemparkan pelbagai persepsi negatif terutamanya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
Terbaharu, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Pas Pusat, Zurk Ahmad menasihati Perdana Menteri agar ‘bertaubat’ daripada menganjurkan majlis berkenaan kerana ianya sebagai permainan politik sempit Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, rakyat sentiasa menilai sikap Anwar yang kononnya telah mengkhianati perjuangan reformasi selama ini.
“Nasihat kami (Pas) kepada PMX (Perdana Menteri ke-10), bertaubatlah daripada sesuka hati menggunakan jentera kerajaan demi kepentingan politik yang sempit.
“Jangan diteruskan budaya politik yang jijik dan terkebelakang seperti ini.
“Kami percaya rakyat akan sentiasa memerhati dan menilai sikap PMX yang dilihat hilang prinsip dan sentiasa mengkhianati perjuangan reformasi selama ini,” katanya dipetik Harakahdaily, hari ini.
Zurk turut membidas Anwar yang didakwanya amat terdesak dalam berhadapan dengan gelombang penolakan rakyat di enam negeri yang akan diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri akan diadakan di Kedah bermula 29 April ini, kemudian akan diteruskan di Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (12 Mei) dan Terengganu (13 Mei).
Kemuncak sambutan rumah terbuka ini akan diadakan di Selangor pada 14 Mei. – Malaysiapost