Tak wajar label rumah terbuka langkau sempadan hormat, adab

Tak wajar label rumah terbuka langkau sempadan hormat, adab

PERIKATAN Nasional (PN) ditempelak apabila menjadikan Rumah Terbuka Malaysia Madani sebagai modal yang mencetuskan permusuhan politik.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, adalah tidak wajar melabelkan penganjuran majlis berkenaan sebagai tindakan melangkaui sempadan hormat dan adab.

Katanya, ia berikutan ketiga-tiga Menteri Besar kerajaan PN termasuk Kedah bersetuju dan menyambut baik penganjuran rumah terbuka yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelasnya, rumah terbuka itu sekadar sambutan Aidilfitri bersama rakyat untuk meraikan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bendera parti politik yang mentadbir negeri berbeza.

“Tindakan membuka gelanggang untuk membalas usaha murni meraikan Aidilfitri inilah yang menglangkaui sempadan hormat dan adab.

“Ia hanya mempamerkan ketakutan PN kepada perkara yang tidak wujud sehingga imaginasi politik mereka menjadikan semua tindakan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia Madani adalah kesalahan di mata umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, PN mempertikaikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri di enam negeri yang disifatkan keterlaluan.

Dalam pada itu, Muhammad Kamil menyifatkan tindakan PN membangkitkan perihal hutang negara dan penjimatan adalah sesuatu yang tidak munasabah.

“PN memberi hukuman bahawa pimpinan Kerajaan Malaysia Madani tidak berhak untuk menganjurkan apa-apa program untuk rakyat hanya kerana prinsip penjimatan yang diperkenal Perdana Menteri.

“Setakat ini, tidak ada lagi pembuktian dari PN bahawa penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri ini adalah pembaziran melainkan persepsi semata-mata,” katanya.

Pada masa sama, katanya, cubaan mengaitkan Kerajaan Persekutuan terhadap pembatalan siaran Takbir Raya PN juga adalah provokasi dan bertujuan memburuk-burukkan kerajaan.

“Keputusan pembatalan program oleh Media Prima tidak mempunyai sebarang pengaruh daripada kerajaan dan sekiranya PN ingin mendapatkan maklum balas menjangkaui ‘ralat teknikal’ yang dimaklumkan, rujukan sebaiknya ditujukan kepada stesen television berkaitan,” katanya.

Justeru, beliau beranggapan serangan terhadap Kerajaan Persekutuan adalah disebabkan kegagalan PN untuk membuat jaringan politik.

“Ia adalah kezaliman politik sebenar yang mengeruhkan bukan sahaja hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri, malah ia satu bentuk hasutan untuk menanam keraguan kepada orang awam terhadap realiti yang tidak boleh diterima pucuk pimpinan PN,” katanya. – Malaysiapost

Komen