Dr Amalina buat majlis aqiqah anak
PAKAR bedah kelahiran Malaysia yang berkhidmat di United Kingdom (UK), Dr Amalina Che Bakri mengadakan majlis aqiqah buat cahaya mata sulungnya, semalam.
Menerusi hantaran di Instagramnya, Dr Amalina yang pulang ke tanah air bersama suami, Alexander Charles untuk meraikan Aidilfitri, dilihat turut mengambil kesempatan melakukan majlis itu buat anak mereka, Arabella Mia.
“Alhamdulillah, kami berkesempatan melakukan Aqiqah untuk puteri cantik kami, Arabella Mia semalam,” tulisnya ringkas.
Dalam hantaran sama, Dr Amalina turut berkongsi tiga keping foto dirinya memakai persalinan serba hijau berserta selendang sambil memangku Arabella Mia, dipercayai selepas majlis berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan, ibu Dr Amalina, Sabariah Hassan, berkongsi perasaan teruja menyambut anak, menantu dan cucunya pulang ke Malaysia bagi meraikan Aidilfitri, baru-baru ini.
“Tak tahu nak cakap betapa gembiranya saya. Kali terakhir Amalina balik, masa tu belum ada baby. Akhir tahun lepas pula saya yang ke London jumpa cucu.
“Memang gembira sangat Tok Ma (panggilan nenek) apabila kali ini cucu balik beraya di Malaysia. Ini raya pertama saya jadi nenek!” katanya.
Dr Amalina mendirikan rumahtangga bersama jejaka Inggeris, Alexander Charles dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Masjid Central London pada 31 Mac, tahun lalu.
Beliau adalah pelajar cemerlang yang pernah mencatat sejarah dengan kejayaan meraih 17A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2004. – Malaysiapost