Exco Melaka didakwa terbabit skandal seks perlu buat laporan polis

Exco Melaka didakwa terbabit skandal seks perlu buat laporan polis

AHLI Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka yang didakwa terbabit dalam skandal seks perlu segera membuat laporan polis bagi tujuan siasatan dan membersihkan namanya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, ia berikutan video dikaitkan dengan skandal itu sudah tersebar dan tuduhan dilemparkan amat berat.

Katanya, beliau bersimpati dengan Exco kanan terbabit terutamanya video itu tersebar ketika umat Islam sedang menyambut Aidilfitri.

“Disebabkan video berkenaan telah tersebar dan tuduhan yang dilemparkan amat berat, adalah menjadi kewajipan kepada Exco terbabit membersihkan namanya dengan segera membuat laporan polis serta mengambil tindakan undang-undang termasuk ke atas wanita yang dikaitkan,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook.

Kes itu turut mendapat perhatian Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang menyifatkan kontroversi Exco yang didakwa terbabit dalam skandal seks dengan seorang wanita itu sebagai fitnah dan boleh berlaku kepada sesiapa saja.

Katanya, dalam dunia siber dan serba moden ini, pelbagai bentuk fitnah mudah disebarkan pihak tidak bertanggungjawab di media sosial.

Dalam pada itu, Dr Mohd Yadzil berkata, kes itu adalah cabaran kepada Ab Rauf selaku Ketua Menteri Melaka yang baharu untuk membuktikan kemampuannya mentadbir.

“Terpulang kepada beliau sama ada mahu kerajaan negeri pimpinannya bersih atau tercemar dengan tuduhan sedemikian.

“Rakyat sedang menilai dan sesebuah kerajaan bukan saja mesti bersih, tetapi perlu kelihatan bersih.

“Sebarang kompromi akan memperlihatkan Malaysia Madani hanyalah retorik kosong yang tidak membawa sebarang makna,” katanya.

Beliau berkata, sebagai sebuah gagasan yang memperjuangkan politik matang, fokus PN adalah membangunkan negara secara konstruktif dan berperanan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab dengan menolak budaya politik menyerang peribadi pemimpin tertentu. – Malaysiapost

Komen