PLUS aktifkan semula ‘SmartLane’ hujung minggu ini
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengaktifkan laluan ‘SmartLane’ pada hujung minggu ini susulan jangkaan lonjakan trafik sempena berakhirnya cuti sekolah selain cuti Hari Pekerja, Isnin ini.
Pengaktifan ‘SmartLane’ iaitu pembukaan sementara lorong kecemasan di laluan-laluan tertentu yang kritikal di lebuh raya bertujuan untuk menambah kapasiti lorong.
Inisiatif PLUS dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) itu bagi membantu melancar dan menyuraikan trafik ketika waktu puncak turut melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, sepanjang cuti perayaan ini, ‘SmartLane’ telahpun diaktifkan di dua laluan PLUS menghala ke Utara.
Katanya, ia membabitkan Persimpangan Port Dickson hingga Persimpangan Seremban antara KM260.0 hingga KM263.1 (Arah Utara) dan Persimpangan Senai Utara hingga Persimpangan Kulai antara KM19.0 hingga KM27.0 (Arah Utara) bagi membantu melancarkan pergerakan trafik.
“Pelaksanaan ‘SmartLane’ di dua laluan di wilayah selatan tersebut telah menerima maklum balas yang positif dan disambut baik oleh pengguna lebuh raya kerana inisiatif ini dapat membantu mengurangkan kesesakan.
“Ketika laluan ‘SmartLane’ ini diaktifkan, pengguna lebuh raya dibenarkan memasuki dan memandu di laluan kecemasan untuk sementara sebagai langkah untuk menambah kapasiti laluan terbabit sebelum diarahkan untuk masuk semula ke laluan utama lebuh raya bagi meneruskan perjalanan mereka.
“Bagaimanapun, pengguna lebuh raya dilarang sama sekali menggunakan bahu jalan atau laluan kecemasan di lokasi-lokasi lain di mana tiada laluan ‘SmartLane’ diaktifkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain dua laluan tersebut, PLUS juga telah mengenal pasti lokasi lain bagi pengaktifan laluan ‘SmartLane’ iaitu laluan Gua Tempurung-Gopeng antara KM306.7 hingga KM297.0 (Arah Utara), Slim River-Sungkai antara KM367.3 hingga KM354.1 (Arah Utara) dan Rawang-Sungai Buaya antara KM439.9 – KM435.5 (Arah Utara).
Namun, katanya, pengaktifan laluan ‘SmartLane’ di lokasi-lokasi tersebut bergantung kepada keadaan trafik semasa dan kebenaran daripada pihak berkuasa pada waktu dan tempoh tertentu sebelum ia dilaksanakan.
Menurutnya, pengguna lebuh raya boleh mengenal pasti penggunaan laluan ‘SmartLane’ ini melalui papan tanda laluan ‘SmartLane’ serta pengawal trafik yang ditempatkan di lokasi terbabit atau merujuk laman media sosial PLUS di Facebook dan Twitter PLUSTrafik. – Malaysiapost