PRN: Kita akan ‘bungkus’ Shahidan di Selangor
PAKATAN Harapan (PH) Selangor sudah bersedia untuk ‘membungkus’ Datuk Seri Shahidan Kassim jika pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor ini.
Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Yahya Mat Sahri berkata, PH nekad dan akan melawan habis-habisan terhadap semua calon yang ditampilkan PN termasuk Shahidan.
“Shahidan duduk sahaja di Arau. Jaga sahajalah Perlis itu elok-elok memandangkan tiada apa-apa perubahan ketara yang telah dilakukan oleh beliau di Perlis walaupun pernah menjadi Menteri Besar.
“Apa yang lebih penting, kita nak pastikan apabila dia (Shahidan) sampai sahaja di Semenyih, kita akan bungkus dia,” katanya dipetik Harapandaily, hari ini.
Terbaharu, Shahidan memberi bayangan bakal bertanding pada PRN yang dijangka diadakan pada pertengahan tahun ini.
Namun beliau tidak mendedahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mana yang ingin ditandinginya.
Bagaimanapun kelibat Ahli Parlimen Arau itu kerap dilihat berada di Semenyih sebelum ini sekali gus menguatkan lagi desas-desus bakal bertanding di kawasan berkenaan.
Justeru, Yahya mengingatkan semua pengundi Selangor agar bijak untuk memilih calon yang terbaik pada PRN nanti.
“Saya tidak nampak orang Selangor yang cerdik-cerdik akan mengundi dan memilih Shahidan.
“Malah, saya rasa pengundi-pengundi Selangor ini jauh lebih bijak daripada Shahidan,” katanya.
Dalam pada itu, Yahya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR turut mengalu-alukan mana-mana individu untuk bertanding pada PRN Selangor akan datang.
“Sesiapa pun boleh nak bertanding di mana-mana kawasan kalau mengikut ketetapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Shahidan turut dialu-alukan untuk datang bertanding. Silakan, tetapi kita akan gempur dia,” katanya. – Malaysiapost