Rumah terbuka: Guna dana parti, bukan wang kerajaan – Hassan

Rumah terbuka: Guna dana parti, bukan wang kerajaan – Hassan

KERAJAAN disaran menggunakan dana parti atau wang peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi penganjuran Majlis Rumah Terbuka Kerajaan Madani yang akan diadakan di enam negeri bermula Sabtu ini.

Serentak itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim meminta Perdana Menteri mengumumkan bahawa wang kerajaan tidak akan digunakan untuk membiayai ‘road show’ rumah terbuka terbabit.

Jelasnya, adalah menjadi kesalahan sekiranya Perdana Menteri atau Menteri Besar kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) menggunakan wang kerajaan untuk mengadakan majlis tersebut di banyak negeri.

“Ia jelas satu penyalahgunaan kuasa, termasuklah jika kakitangan awam dan jentera kerajaan digunakan untuk mengendalikan rumah-rumah terbuka tersebut.

“Memang ada peruntukan Perdana Menteri untuk mengadakan majlis rasmi keraian seperti rumah terbuka hari raya tetapi di satu tempat sahaja misalnya di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut Hassan, penganjuran rumah terbuka sehingga enam negeri oleh kerajaan seolah-olah fenomena baharu yang ditakuti menyalahi kod etika dan undang-undang penggunaan wang awam.

Katanya, meskipun jumlah digunakan tidak mencecah jutaan ringgit, namun perlu diingatkan ia adalah duit awam dan perlu dibelanjakan secara berhemah, tidak melanggar etika moral dan undang-undang.

Beliau memberi contoh bahawa Perdana Menteri India, Indira Ghandi pernah didapati bersalah menggunakan helikopter kerajaan untuk berkempen dalam pilihan raya sehingga menyebabkan kerajaannya tumbang.

“Berapalah sangat duit kerajaan India digunakan untuk menerbangkan sebuah helikopter kerajaan untuk Perdana Menteri India, Indira Ghandi berkempen pilihan raya.

“Bukan quantum wang yang digunakan itu besar atau kecil. Yang menjadi isu pokok ialah telah berlaku penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Jelasnya, kerajaan perlu berjimat memandangkan hutang negara ketika ini sudah mencecah RM1.5 trilion iaitu 82 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Selain itu, kerajaan sering memberitahu bahawa sedang menanggung beban hutang 1MDB sebanyak RM18.2 billion,” katanya.

Tegasnya, tidak menjadi kesalahan untuk mengadakan seberapa banyak rumah terbuka, namun jangan menggunakan wang kerajaan.

“Buatlah rumah-rumah terbuka raya di mana-mana. Raya pun sebulan. Tidak jadi masalah. Bukan satu isu. Tetapi tolonglah jangan gunakan wang awam atau wang kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

Komen