‘Saya tak pernah beri rasuah seks’ – Rais Yasin

AHLI Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah seks, Datuk Rais Yasin, hari ini tampil memberi penjelasan menafikan melakukan perbuatan itu.

Menurut Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka itu, dakwaan berkenaan sengaja direka bertujuan untuk menjatuhkan reputasinya.

Beliau menafikan terlibat melakukan perkara seperti digambarkan dalam tangkap layar itu, termasuk rasuah seks sebagai habuan membantu saudara kepada seorang wanita bagi mendapatkan projek.

“Ini semua adalah satu fitnah yang direka cipta untuk menjatuhkan reputasi saya. Selaku pemimpin kerdil, saya anggap ini adalah asam garam politik. Dalam masa yang sama saya anggap ini satu ciptaan dan rekaan yang mana hari ini, siap ada perbualan WhatsApp.

“Saya tidak pernah memberi rasuah secara seks atau apa-apa kepada mana-mana individu. Mana-mana yang mengenali diri saya ataupun kawan teman rapat, saya yakin mereka tahu siapa diri saya.

“Saya baru balik dari bercuti, jadi sebab itu saya tidak keluarkan apa-apa kenyataan. Tetapi saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang tolong menjawab,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penularan dakwaan mengaitkan namanya sebagai Exco Melaka yang terlibat dalam rasuah seks sejak Selasa lalu.

Sebelum ini, Ab Rauf menegaskan isu skandal seks yang didakwa membabitkan seorang Exco Melaka sebagai satu fitnah.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka berkata, dalam dunia siber serba moden pelbagai bentuk fitnah mudah disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab terutama dalam media sosial.

Ditanya sama ada akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab mencipta fitnah itu, Rais berkata, beliau akan meneliti pelbagai aspek sebelum sebarang tindakan.

“Siapa sahaja yang reka (fitnah) ini saya juga akan meneliti dan melihat bagaimana untuk saya pertahankan maruah diri dan keluarga saya namun saya tidak ingin menuduh sesiapa.

“Ada juga yang kata akan buat laporan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung rasuah seks ini dan Insya-Allah kalau ada siasatan oleh pihak berkuasa, saya akan beri kerjasama penuh,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights