SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak membuka kertas siasatan berhubung dakwaan skandal rasuah seks yang dikaitkan dengan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka.
Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Melaka, Mohd Zamri Abu Bakar berkata, pihaknya sudah membuat laporan SPRM susulan pendedahan skandal terbabit di akaun media sosial Facebook milik dua individu pada Selasa lalu.
Dakwanya, pengguna media sosial terbabit telah memuat naik maklumat, gambar, cetakan skrin telefon dan video yang mengaitkan Exco itu dengan skandal rasuah seks.
“Dari bukti yang dimuat naik menunjukkan Exco terbabit mempunyai hubungan dengan seorang wanita yang menawarkan khidmat seks bagi mendapat bayaran sehingga RM15,000 sebulan.
“Pendedahan itu jelas wujud elemen rasuah yang sangat besar di mana wanita itu telah pun memberikan khidmat seks bagi tujuan mendapatkan projek untuk ‘uncle’ nya dan watak yang dikatakan Exco Melaka itu berjanji memberikan projek demi mendapatkan layanan seks,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat laporan di pejabat SPRM Melaka di Alai, hari ini.
Katanya, tindakan itu menyalahi undang-undang dan Exco terbabit disyaki telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berupa layanan seks.
Justeru, Mohd Zamri mendesak SPRM memanggil individu yang membuat pendedahan, wanita dan Exco yang dikaitkan dengan dakwaan itu.
Sementara itu, beliau berkata, jawapan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang disiarkan media sangat mengecewakan apabila tidak mahu menafikan perkara itu terjadi atau tidak, malah menyifatkan ia fitnah yang boleh dikenakan kepada sesiapa saja.
“Maka timbul persoalan adakah Kerajaan Melaka hari ini tidak kisah mengenai integriti termasuk wujud rasuah seks tetapi akan terus membela dan melindungi pelaku?.
“Semua sangat jelas dan jika SPRM pun gagal bertindak maka sesuatu sangat tidak kena sedang berlaku,” katanya. – Malaysiapost