Tanah runtuh: 19 rumah sementara untuk kakitangan SPRM terjejas

SEBANYAK 19 rumah penginapan sementara disediakan kepada semua kakitangan dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terbabit dalam insiden tanah runtuh di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), kelmarin.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr Zulkapli Mohamad, berkata kemudahan sementara itu disediakan untuk memastikan kakitangan MACA tidak terganggu dengan insiden itu.

Beliau berkata, setakat ini perancangan membaik pulih kemudahan yang terkesan dengan kejadian berkemungkinan mengambil masa sehingga dua minggu.

“Setelah berbincang termasuk bersama Timbalan Pesuruhjaya SPRM, kami membuat keputusan untuk memberikan kemudahan penginapan kepada kakitangan SPRM yang terbabit.

“Kita sediakan 19 rumah kepada mereka ini kawasan-kawasan berdekatan tempat kerja mereka. Jadi isu ini dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu atau dua minggu ini,” katanya.

Kelmarin, tanah runtuh dilapor berlaku berdekatan bangunan MACA milik SPRM di Persiaran Tunku Syed Sirajuddin, di sini, dikatakan berpunca daripada takungan air susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu serta paip bawah tanah yang pecah, turut menyebabkan pondok keselamatan di bangunan berkenaan runtuh.

Dalam pada itu, Zulkapli berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) juga akan membuka jalan alternatif untuk memudahkan urusan kakitangan MACA.

“Kita juga akan menyediakan fasiliti lain untuk memastikan kerja-kerja dan operasi MACA dan agensi lain yang terbabit berjalan seperti biasa,” katanya.

Semalam, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kejadian runtuhan cerun itu bukan disebabkan faktor semulajadi sebaliknya berpunca akibat kebocoran kepada sistem perpaipan bekalan air di kawasan tersebut

Katanya, kebocoran paip pada sistem perpaipan mengakibatkan tanah mengalami ketepuan yang tinggi (fully saturated) seterusnya meningkatkan ‘lateral force’ kepada tembok penahan sedia ada dari jenis Contiguous Micropile. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights