26,000 syarikat belum bayar tunggakan GST RM2.1 bilion

SEBANYAK 26,000 syarikat dan entiti perniagaan belum membayar tunggakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) hampir RM2.1 bilion, walaupun cukai itu dimansuhkan pada 2018.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Zazuli Johan berkata, tunggakan itu termasuk penalti ke atas semua syarikat dan entiti perniagaan lewat membayar GST yang dilaksanakan pada 2015.

Beliau berkata, pihaknya tidak pernah berdiam diri, sebaliknya mengambil pelbagai pendekatan dan tindakan bagi mendapatkan semula hasil negara itu.

“Kita mengambil tindakan penguatkuasaan melalui pendakwaan di mahkamah, selain menyekat perjalanan ke luar negara pemilik syarikat yang gagal menyelesaikan tunggakan cukai tersebut.

“Tahun lalu, kita mendapati lebih 10,000 entiti perniagaan membuat penyelesaian bayaran tunggakan GST, termasuk nilai penalti berjumlah RM800 juta,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya turut menggalakkan syarikat terbabit tampil secara sukarela melalui khidmat nasihat dan program mengutip tunggakan itu.

Katanya, ia bagi membantu syarikat terbabit mengurus dan meningkatkan tahap pematuhan, selain mengelakkan tunggakan cukai.

Zazuli berkata, kastam turut memperkenalkan Program Pengurangan Remisi dan Surcaj di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014, Akta Cukai Jualan 2018, Akta Cukai Perkhidmatan 2018, Akta Cukai Pelancongan 2017 dan Akta Levi Pelepasan 2019 bagi membantu industri terjejas dengan ekonomi semasa.

Melalui program itu, katanya, penalti atau surcaj dikurangkan sehingga 100 peratus tertakluk kepada syarat ditetapkan mulai 1 Februari lalu hingga 30 September ini.

Menurutnya, Program Pelepasan Sementara untuk sekatan perjalanan ke luar negara turut diperkenalkan tahun ini bagi syarikat disenaraihitamkan, tetapi tertakluk kepada syarat.

Katanya, ia bertujuan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan ke atas mereka selain memastikan membayar tunggakan GST dan penalti.

Beliau menggesa syarikat terbabit ke pejabat Jabatan Kastam berhampiran untuk mendapatkan pengurangan penalti dan surcaj itu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights