Cuaca panas: Jemaah Menteri bincang keperluan lanjut cuti sekolah

Cuaca panas: Jemaah Menteri bincang keperluan lanjut cuti sekolah

KEPERLUAN untuk melanjutkan cuti persekolahan berikutan fenomena cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini akan dibincangkan oleh Jemaah Menteri. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan telah mengkoordinasikan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi membantu rakyat menghadapi fenomena itu, termasuk kerjasama dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Kesihatan bagi memantau dan membantu mereka yang terkena strok haba.

“Saya fikir itu harus dibincangkan di (peringkat) Jemaah Menteri,” katanya yang ditemui media pada Rumah Terbuka Aidilfitri Umno Bahagian Pontian, hari ini. 

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, laporan mesyuarat berkaitan strok haba telah diserahkan kepadanya dan usaha penyelarasan antara kementerian dan jabatan yang terlibat sedang dijalankan.

“Ketika ini iklim di negara kita sudah berubah dengan haba panas mula melanda, terutamanya di Kelantan dengan dua kematian. Kementerian Kesihatan juga telah mengambil langkah-langkah tertentu, dan kita nasihatkan rakyat di kawasan yang dilanda haba panas ini agar dapat minum air bersih dengan lebih banyak.

“Saya dimaklumkan oleh MetMalaysia bahawa panas ini akan berakhir pada pertengahan bulan Mei. Jadi saya berharap walaupun ini fenomena baharu, tetapi kita perlu berjaga-jaga dan mengambil beberapa langkah kesihatan,” katanya.

Setalat ini, dua kematian dilaporkan akibat strok haba yang membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun tujuh bulan dan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di Kelantan. – Malaysiapost

Komen