Dakwaan rasuah seks, Rais perlu buat laporan polis

EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin yang didakwa dengan skandal rasuah seks perlu membuat laporan polis bagi membersihkan nama beliau.

Bekas Timbalan Pengerusi Umno Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, sekiranya benar individu itu tidak melakukan perbuatan terbabit, beliau tidak boleh berdiam diri dan perlu berani membuat laporan polis.

Menurutnya, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh juga perlu berperanan serta bertanggungjawab dengan menasihatkan Rais membuat laporan polis sekali gus menghentikan segala fitnah terhadap beliau yang juga Timbalan Pengerusi Umno Melaka.

Katanya, jika benar isu itu merupakan fitnah beliau patut meletakkan kepercayaan kepada polis untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan kepada individu yang menyebarkan fitnah tersebut susulan laporan yang dibuat.

“Beliau (Ab Rauf) ambil tangunggjawab betulkan keadaan, supaya kerajaan bawah pimpinannya bersih.

“Minta dia (Rais) buat laporan polis dan bersihkan nama baik kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, katanya, beberapa beberapa wakil cawangan Umno bahagian itu juga akan membuat laporan polis berhubung dakwaan skandal rasuah seks yang dikaitkan dengan Ketua Umno Bahagian Tangga Batu itu.

“Saya jangkakan 20 cawangan akan membuat laporan polis,” katanya.

Semalam, Rais menyifatkan dakwaan rasuah seks melibatkannya adalah untuk menjatuhkan karier politiknya kerana ia telah bermula ketika pemilihan Umno pada Mac lalu.

Walaupun tidak bercadang membuat laporan polis mengenai tuduhan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput itu sedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan berhubung perkara itu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights