Guna dana parti anjur rumah terbuka pandangan peribadi Hassan – Anwar

PENGANJURAN Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri bukan  atas nama atau agenda peribadi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Sebaliknya, Perdana Menteri menegaskan, majlis rumah terbuka tersebut dilaksanakan atas nama kerajaan.

Justeru, beliau menyifatkan saranan Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Abdul Karim supaya kerajaan menggunakan dana parti bagi menganjurkan Rumah Terbuka Madani sebagai pandangan peribadi.

Malah, Anwar menyangkal penganjuran majlis rumah terbuka itu bersifat membazir kerana ia bertujuan menjamu rakyat.

“Itu padangan peribadi Hassan, kita mengambil kira pandangan dia.

“Di mana-mana pun kerajaan buat. Semua kerajaan buat. Untuk rakyat, bukan membazir bagi makan rakyat. Tidak membazir.

“Kalau kita buat peribadi, keluarga itu peribadi. Tapi kalau kita buat untuk rakyat, atas nama Kerajaan itu kerajaan. Jauh lebih murah buat di Alor Setar daripada Putrajaya,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette.

Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah, Paya Jaras, Sungai Buloh.

Kelmarin, Hassan menyarankan supaya kerajaan menggunakan dana parti bagi menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani.

Jelasnya, adalah menjadi kesalahan apabila majlis itu menggunakan wang kerajaan pusat.

“Ia jelas satu penyalahgunaan kuasa, termasuklah jika kakitangan awam dan jentera kerajaan digunakan untuk mengendalikan rumah-rumah terbuka tersebut.

“Memang ada peruntukan Perdana Menteri untuk mengadakan majlis rasmi keraian seperti rumah terbuka hari raya.

“Tetapi di satu tempat sahaja misalnya di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights