Kelantan negeri paling mundur kerana kegagalan PAS – Faiz Fadzil

KELANTAN sememangnya berdepan masalah kotor akibat kelemahan tatakelola kerajaan pentadbiran PAS dalam menguruskan sampah di negeri berkenaan.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Amanah, Faiz Fadzil, berkata isu kotor dan masalah sampah yang tidak berkesudahan di Kelantan adalah fakta yang tidak boleh dinafikan, berbanding Pulau Pinang yang bersih di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Kelantan yang merupakan antara negeri termundur di Malaysia adalah hasil daripada kegagalan pentadbiran kerajaan PAS dalam memajukan ekonomi tempatan dan membasmi kemiskinan selain turut berdepan isu alam sekitar yang kritikal.

“Bukan setahun dua, tetapi ianya sudah berlarutan berdekad lamanya. Kerajaan PAS sekarang lebih berminat membeli kereta Mercedes daripada menyelesaikan masalah air, membina stesen bas yang lebih selesa serta menangani isu alam sekitar akibat pembalakan yang berleluasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi membidas tindakan Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Nawi yang mengutuk kenyataan Ketua Pengarah J-KOM Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berhubung isu berkenaan.

Dalam pada itu, Fadzil berkata, beliau selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Pinang mengalu-alukan Mohd Firdaus dan pemimpin PAS untuk membuat lawatan sambil belajar ke negeri itu.

“Untuk rekod, di bawah pentadbiran PH, Pulau Pinang merupakan antara negari terawal melaksanakan Dasar Pengasingan Sisa di Punca sejak 2016 lagi.

“Bagi tahun 2021, Pulau Pinang telah berjaya mencapai kejayaan kadar kitar semula yang tertinggi di Malaysia iaitu 51.18%. Menjelang 2030, ia dijangka naik ke 70%.

“Manakala, data saintifik yang diperakui KKM menunjukkan air terawat di Pulau Pinang adalah antara yang terbersih dan selamat,” katanya.

Beliau juga berkata, sektor ekonomi Pulau Pinang juga berkembang pesat dengan rekod pertumbuhan ekonomi tertinggi dalam negara pada tahun 2021 pada kadar 7.1 peratus di saat krisis ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Kejayaan Pulau Pinang memajukan ekonomi negeri ini telah menjadikan kehidupan rakyatnya yang sejahtera dan makmur.

“Di Pulau Pinang, kita tidak mendengar rungutan rakyat berkaitan air kotor, sampah yang tidak terurus ataupun mempunyai masalah peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun Pulau Pinang sering difitnah dengan sentimen perkauman dan agama, namun hakikatnya orang Melayu hidup dalam keadaan baik dan Islam juga diamalkan dan berkembang dengan begitu baik.

“Kelantan mungkin maju dengan slogan Islam, tetapi nilai Islam dalam pentadbiran semakin lupus. Bersih dan berkebajikan adalah nilai dan prinsip Islam yang cukup tinggi, tetapi tidak dirasai rakyat di negeri Kelantan,” katanya.

Kelmarin, Mohd Firdaus menyifatkan Mohammad Agus sebagai tidak cermat ketika tampil mengkritik permasalahan kemudahan asas di Kelantan.

Jelas Mohd Firdaus, Pulau Pinang telah diheret oleh Mohamad Agus walaupun negeri yang ditadbir PH itu tidak bersalah dalam isu yang diperkatakan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights