KERAJAAN akan menyelaras satu kaedah penentuan arah kiblat yang tepat sebagai rujukan penting di seluruh negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Menurutnya, ia sekali gus menyelesaikan isu menentusahkan arah kiblat dalam ibadat masyarakat Islam di negara ini.
Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia berhubung perkara itu.
Katanya, isu arah kiblat yang tepat adalah sangat penting untuk umat Islam kerana ia membabitkan perihal ibadat khususnya dalam mengerjakan solat.
“Saya sudah mengarahkan Ketua Pengarah JAKIM untuk mengadakan perbincangan dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah untuk mencapai persetujuan bersama. Pertemuan dan perbincangan itu sudah dijalankan, baru-baru ini.
“Dalam konteks Wilayah Persekutuan, saranan yang diberikan adalah, untuk orang ramai di Lembah Klang merujuk kepada jawatankuasa fatwa dan jawatankuasa falak di pejabat mufti serta persatuan falak.
“Di negeri-negeri seluruh negara pula, InsyaAllah, saya akan cadangkan satu penyelarasan dari sudut penentuan kaedah mana yang akan digunakan. Perbincangan ini akan dijalankan di peringkat Jawatankuasa Muzakarah nanti.
“Saya juga akan berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah (Datuk Dr Nooh Gadut) dalam konteks menentukan arah,” katanya hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan pelbagai faktor termasuk kesilapan membaca kompas ketika membuat penentuan sendiri arah tempat solat, menyebabkan kira-kira 40 peratus kediaman sekitar Lembah Klang tersasar daripada kedudukan kiblat yang tepat.
Keadaan itu menyaksikan ada di antara tempat atau ruang solat di sesebuah kediaman itu tersasar sehingga 180 darjah daripada kedudukan sebenar.
Situasi itu adalah dapatan Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor (PAFNS) selepas memeriksa lebih 20,000 kediaman dan premis untuk ditentusahkan arah kiblat masing-masing. – Malaysiapost