GABUNGAN Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) Kedah menjelaskan bacaan ikrar menyokong Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, tidak terkandung dalam atur cara majlis dan di luar pengetahuan penganjur.
Pengerusinya, Mohamad Luqman Nurhakim Shamsuddin berkata, Menteri Besar dan penganjur juga tidak dimaklumkan mengenai ikrar yang dibacakan secara spontan oleh mahasiswa terbabit.
“Terdapat mahasiswa yang tampil ke hadapan pentas dan secara sukarela menyatakan sokongan kepada MB Kedah melalui bacaan ikrar dan turut mengajak mahasiswa yang lain di dalam dewan untuk turut serta.
“Kami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak bahawa program ini bertujuan kempen politik dan ikrar ini telah dirancang awal untuk menyatakan sokongan kepada Menteri Besar secara paksaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sejak beberapa hari lalu, Muhammad Sanusi dikritik kerana didakwa terlibat dalam bacaan ikrar mempertahankan pemimpin PAS itu sebagai Menteri Besar di Kedah.
Bacaan ikrar itu dilakukan pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri MB Kedah bersama Mahasiswa di Dewan Seri Mentaloon dengan kehadiran mahasiswa Kedah melebihi 1,000 orang pada 23 April lalu.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi memaklumkan bacaan ikrar itu di luar pengetahuannya, sebaliknya pihak beliau hanya terlibat menyediakan juadah dan tempat program.
Jelas Mohamad Luqman, Pejabat Menteri Besar Kedah hanya menyediakan makan dan minuman tetamu sahaja.
“Program ini merupakan acara tahunan yang diadakan menjelang Aidilfitri bagi meraikan mahasiswa yang pulang ke Kedah untuk beraya.
“Selain daripada jamuan, majlis ini turut diisi dengan sesi ramah mesra dan dialog dua hala antara MB Kedah dan mahasiswa,” katanya. – Malaysiapost