Saifuddin enggan layan desas-desus gerakan mahu gulingkan kerajaan

Saifuddin enggan layan desas-desus gerakan mahu gulingkan kerajaan

DATUK Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan desas-desus kononnya wujud gerakan mahu menggulingkan kerajaan perpaduan menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai bukan sesuatu ancaman.

Sehubungan itu Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan tersebut berkata fokus kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini adalah memulihkan ekonomi negara serta menjaga kebajikan rakyat.

Beliau juga menegaskan kerajaan perpaduan adalah sebuah kerajaan yang stabil, kukuh dan berfungsi untuk terus mentadbir negara.

“Saya tak menganggap ia sebagai satu ancaman dan saya juga tak cadang nak respon terhadap apa juga desas-desus di luar sana.

“Fokus kami sekarang adalah untuk pulihkan balik ekonomi, bantu rakyat terutama selepas pasca Covid-19, kestabilan politik, memakmurkan ekonomi kemudian memberi kebajikan rakyat.

“Kerajaan ini adalah kerajaan yang stabil, kukuh dan berfungsi dengan baik,” kata Menteri Dalam Negeri itu.

Terdahulu, beliau meninjau dan menyampaikan bingkisan raya kepada anggota Maritim Malaysia yang bertugas sempena Op Pagar Laut di atas Kapal Maritim (KM) Burau dekat Batu Maung hari ini. – Malaysiapost

Komen