Sempat minta tolong, kanak-kanak jatuh tingkat 11 kuarters polis

Sempat minta tolong, kanak-kanak jatuh tingkat 11 kuarters polis

SEORANG kanak-kanak berusia empat tahun sempat menjerit meminta tolong kepada ibunya sebelum maut terjatuh dari tingkat 11 di Kuarters Polis, USJ 8, Subang Jaya, hari ini. 

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian berlaku pada pukul 11.35 pagi ketika ibu mangsa berada di dapur.

Jelasnya, kanak-kanak perempuan itu merupakan anak kepada pasangan anggota polis yang tinggal di kuarters berkenaan.

“Menurut ibu mangsa, sebelum kejadian dia berada di bahagian dapur manakala anak-anaknya bermain di ruang tamu.

“Ketika itu, ibunya terdengar bunyi pintu bilik bahagian tengah tertutup dengan kuat dan cuba membuka pintu dari luar namun gagal kerana pintu terkunci,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azlan berkata, ibu mangsa turut mendengar anaknya meminta tolong sebelum dia ke bilik sebelah untuk melihat dari luar tingkap.

“Apabila melihat dari luar tingkap ibu mangsa mendapati anaknya terjatuh ke bawah. Siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa maut terjatuh dari tingkat 11.

“Pihak forensik dan pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling tiba di tempat kejadian dan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurut Wan Azlan, siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang bagi proses bedah siasatan sebelum dituntut ahli keluarga.- Malaysiapost

Komen