DUA warga Taiwan yang dipercayai ahli kongsi gelap serta suspek kes tembakan ditahan ketika memasuki negara ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 20 April lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata kedua-dua suspek berkenaan yang juga orang dikehendaki polis Taiwan ditahan Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Kedua-dua suspek adalah orang dikehendaki polis Taiwan kerana disyaki terbabit dengan kes tembakan di negara itu.
“Malah, mereka juga disyaki ahli kongsi gelap dan anggota sindiket ‘scammer’ di Taiwan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Acryl Sani berkata, mereka ditahan susulan waran tangkap dikeluarkan pihak berkuasa Taiwan dan pembatalan pasport dua individu berkenaan oleh kerajaan negara itu.
“Tangkapan terhadap dua suspek berkenaan dilakukan mengikut Akta Imigresen 1959/63 ketika mereka tiba di balai ketibaan KLIA.
“Kedua-dua suspek diserahkan kepada wakil polis Taiwan di KLIA untuk dibawa pulang ke negara asal mereka pada jam 2.45 petang semalam,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pihak berkuasa Taiwan dan kolaborasi berkenaan akan diteruskan untuk mengenal pasti rangkaian jenayah berkait kedua-dua suspek terbabit di Malaysia.
“PDRM komited dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam. Langkah keselamatan akan diambil bagi memastikan Malaysia tidak dijadikan sebagai negara transit atau destinasi untuk mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya. – Malaysiapost