ANAK bongsu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Norashman dilaporkan mengikat tali pertunangan dengan seorang gadis, Nikola Mulyadi.
Berita gembira itu dikongsi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi di Facebooknya, sebentar tadi.

Menurut Mohd Puad, walaupun majlis pertunangan yang diadakan di Pavilion Bukut Bintang, Kuala Lumpur itu tidak dapat dihadiri Najib, namun ia tetap berlangsung meriah.
“Menghadiri majlis pertunangan anak bongsu Bossku (Najib), Ashman Najib dengan Nikola Mulyadi di Pavilion Bukut Bintang.
“Walaupun Bossku tidak dapat bersama tetapi majlis tetap meriah dan ceria apatah lagi di bulan Syawal,” tulisnya.
Turut hadir dalam majlis itu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda terhadap tujuh pertuduhan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International. – Malaysiapost