Annuar sedia buat ‘come back’ pilih parti berhaluan baik
TAN Sri Annuar Musa, menafikan sudah bersara daripada arena politik tanah air, sebaliknya menegaskan akan lebih aktif selepas ini.
Bagaimanapun, bekas Setiausaha Agung Umno itu masih berahsia mengenai parti mana yang akan disertainya, namun menegaskan akan memilih parti yang ‘berhaluan baik’.
“Saya belum pencen, tak timbul isu kembali aktif cuma saya dibuang dari Umno sahaja.
“Saya aktif, cuma dua tiga bulan sebelum ini dan selepas itu ambil peluang untuk tumpukan kepada hal peribadi, ibadat, hal diri sendiri dan tidak banyak bercakap hal parti tapi saya tak ‘retired’ (bersara).
“InsyaAllah selepas ini akan lebih aktif dan akan berhaluan ke arah yang lebih baik…tengok sehari dua lagi kerana kita masih dalam suasana raya jadi kalau boleh politik kita kurangkan sikit,” katanya seperti dilapor BH, hari ini.
Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh hadir pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan di Dataran Warisan perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di Kota Bharu, hari ini.
Mengulas mengenai rumah terbuka tersebut, Annuar menyifatkan kehadirannya dalam majlis itu adalah sebagai sahabat sejak dalam Kerajaan Persekutuan terdahulu, malah beliau menjelaskan, ia bukan kali pertama menghadiri majlis yang sama di kediaman beberapa pemimpin yang lain.
Ditanya mengenai Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri yang akan diadakan di Kelantan pada 12 Mei nanti, beliau berkata, setakat ini belum menerima sebarang jemputan.
“Alhamdulillah sejak dalam kerajaan (Persekutuan) sebelum ini memang kita semua bersahabat jadi musim raya kali ini dapat bersama-sama.
“Sudah banyak kali saya hadir majlis raya PAS, tahun lalu di Parlimen Pengkalan Chepa, saya hadir semua termasuk rumah Ahli Parlimen Ketereh (Datuk Khlir Mohd Nor) semalam.
“Setakat ini belum terima jemputan (Rumah Terbuka Malaysia Madani) tapi kalau ada jemputan dan berkelapangan, tiada masalah (untuk hadir),” katanya. – Malaysiapost