Hari ini hari aman, kata Sanusi 

MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tampil segak bergaya dengan baju Melayu warna ungu ke Rumah Terbuka Malaysia Madani sambil menyifatkan hari ini adalah hari yang ‘aman’. 

“Hari ini hari aman,” ringkas jawapan beliau ketika ditanya media mengenai penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani di Hotel Raaya, di Alor Setar, hari ini.

Beliau yang mengiringi Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah telah disambut serentak oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu juga dilihat ceria berbual dan bersalaman dengan Perdana Menteri serta kepimpinan tertinggi kerajaan Persekutuan.

Kelibat Muhammad Sanusi ternyata mencuri tumpuan berikutan sebelum ini beliau menyifatkan penganjuran rumah terbuka tersebut di Kedah dan lima negeri lain sebagai program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai tidak wajar.

Ini kerana katanya, penganjuran rumah terbuka itu melibatkan kos tinggi sedangkan Kerajaan Persekutuan menguar-uarkan langkah penjimatan.

Muhammad Sanusi yang sering ‘berlaga angin’ dengan kepimpinan Kerajaan Persekutuan sebelum ini turut mendapat perhatian susulan isu tidak diundang ke Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 dan Majlis Kewangan Negara. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights