PENYANYI terkenal, Datuk Hattan menerima kecaman hebat netizen selepas didakwa melakukan tindakan tidak sepatutnya termasuk ‘memalukan’ seorang pembaca berita di sebuah stesen televisyen ketika bersiaran langsung, semalam.
Menerusi rakaman video yang tular di TikTok sejak semalam, Hattan atau nama sebenar, Mohd Shukri Shahabudin, 59, dihubungi oleh pembaca berita wanita itu menerusi siaran secara langsung berhubung pemergian vokalis kumpulan XPDC, Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael.
Sesi temu bual yang sepatutnya berlangsung secara santai itu bertukar menjadi tegang apabila Hattan dilihat tidak berpuas hati ketika diminta mengulas lirik-lirik lagu XPDC yang dikatakan ‘makan dalam’.
Bagaimanapun, keadaan menjadi agak tegang apabila Hattan bertanyakan semula kepada pembaca berita itu mengenai sejarah dan siapa yang menulis lirik lagu kumpulan itu.
Dalam nada serius, Hattan mengulangi semula soalan dan menegur pembaca berita yang didakwanya tidak membuat ‘homework’ atau persediaan, sebelum menemubualnya.
Namun pembaca berita itu menyebut nama komposer lain sebagai penulis lagu kumpulan XPDC.
Kecewa dengan situasi itu, Hattan sempat ‘sekolahkan’ penyampai berita itu sebelum bertindak mematikan talian.
Susulan kejadian itu, akaun Instagram Hattan diserang netizen hingga menyebabkannya terpaksa menukar akaun media sosialnya itu kepada privasi.
“Baru ada pangkat ‘dato’ dah berlagak..takda rasa hormat langsung dekat pembaca berita!
“Tak perlu nak malukan orang , kalau salah pun tak boleh ke betulkan cara elok? Ape benda la.
“Tak semua tahu pasal XPDC dan tak wajib pun, pembaca berita tu pun dah cakap jika datuk tahu apa-apa boleh kongsi, jika saya pembaca berita tu, saya malulah dimalukan macam tu,” antara komen netizen.
Kelmarin, Mael, 55, menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, Johor, akibat sesak nafas, kira-kira jam 8.41 malam.
Berita pemergian Mael atau nama sebenarnya, Syed Ismail Syed Ibrahim itu disahkan anak perempuan Allahyarham, Sharifah Irfatasha. – Malaysiapost