Isu air di Kedah selesai jika Kerajaan Perpaduan menang PRN – Zahid

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberikan jaminan Kerajaan Perpaduan akan menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di Kedah sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Kita tahu masalah air tidak selesai, kita tidak mahu air ‘teh susu’ di Kelantan dah jadi ‘kopi susu’. Kita tidak mahu Kedah pun jadi kopi susu. Berapa banyak (kawasan) di Kedah ini (pada) waktu raya ini tak cukup air?.

“InsyaAllah, kalau kerajaan (negeri) ini di bawah Kerajaan Perpaduan, masalah air Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan selesaikan, sebab Perdana Menteri juga Menteri Kewangan. Kalau beliau lupa, saya akan ingatkan tolong rakyat Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pidato pada Himpunan Madani Kedah 2023 di Dataran Stargate, Alor Setar, malam tadi.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kementeriannya akan membantu Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dalam usaha memajukan semula Kedah.

“Begitu juga masalah perumahan dan tanah di Kedah, saya tahu masalah ini. InsyaAllah, Datuk Seri Anwar bagi tanggungjawab kepada saya (untuk) jaga kampung, jaga desa, saya tidak akan pernah untuk tidak melaksanakan amanah ini.

“InsyaAllah, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah akan membantu orang kampung sama ada orang Melayu, Cina, India, Siam, Orang Asli untuk kepentingan negeri Kedah dan untuk kepentingan rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Tegasnya lagi, kombinasi baik yang terjalin antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu dipertahankan demi kestabilan politik. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights