TIDAK ada jadual tetap, ringkas jawab Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Bekas Peguam Negara itu berkata demikian berkenaan Lembaga Pengampunan yang tidak mempunyai jadual tetap untuk bersidang bagi membincangkan mengenai petisyen rayuan pengampunan yang difailkan Datuk Seri Najib Razak untuk diampun dan dibebaskan daripada penjara.
Semalam, Lembaga Pengampunan yang bersidang tidak membincangkan mengenai petisyen rayuan pengampunan yang difailkan bekas Perdana Menteri itu, untuk diampun dan dibebaskan daripada penjara.
Sementara itu, memetik BH, peguam Datuk M Reza Hassan berkata, kebiasaannya proses atau prosiding Lembaga Pengampunan akan dilangsungkan secara ‘halus’, yang mana persidangan tidak diwar-warkan.
Mengulas jadual persidangan Lembaga Pengampunan, Reza berkata, perkara itu ada kalanya bergantung kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Sebagai contoh, pada 2018 ketika Yang di-Pertuan Agong mahu memberikan pengampunan, baginda terus memaklumkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Ketika itu Lembaga Pengampunan terus bersidang, walaupun ketika itu Peguam Negara sedang bercuti,” katanya.
Tahun lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika itu, Tan Sri Azhar Azizan Harun, dalam kenyataan media, berkata Najib sudah memfailkan petisyen pengampunan dan memaklumkan menerima serahan beberapa dokumen, antaranya salinan permohonan pengampunan mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, bertarikh 1 September tahun lalu.
Beliau turut menerima salinan surat daripada Tetuan Shafee & Co yang melampirkan permohonan pengampunan itu dan diakui terima oleh Ketua Pengarah BHEUU Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 2 September tahun lalu.
Dalam penghakiman pada 31 Mac lalu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-1, menolak permohonan Najib menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli, mempengerusikan panel lima hakim terbabit yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang; Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vernon Ong Lam Kiat serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.
Dalam permohonan itu, Najib, 69, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, memohon membatalkan keputusan yang dibuat panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos tahun lalu.
Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu kemudiannya dikekalkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang pada 9 Disember 2021.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bermesyuarat pada 7 April lalu memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada Najib. – Malaysiapost