AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung penganjuran majlis Aidilfitri yang diadakan di kediaman rasminya di Seri Mentaloon, Alor Setar, baru-baru ini.
Mohd Puad berkata, tindakan Muhamad Sanusi mengkritik penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani sebagai tidak wajar kerana beliau juga menganjurkan majlis sama dengan kehadiran mahasiswa yang turut disertai acara mengangkat sumpah taat setia.
“MB Kedah tuduh Rumah Terbuka Malaysia Madani hari ini membazir, tidak wajar dan berunsur politik.
“Sekarang terkena batang hidung sendiri. Majlis raya Sanusi bersama mahasiswa ada angkat sumpah taat setia. Itu betul-betul politik. Pertama kali dalam sejarah,” katanya menerusi Facebok.
Mohd Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit berkata, walau apapun alasan Muhamad Sanusi majlis Aidilfitri berkenaan adalah anjuran Menteri Besar Kedah yang dibuat dikediaman rasminya.
“Ia anjuran MB Kedah. Buat di kediaman rasmi MB di Sri Mantaloon. Makan minum pejabat MB yang taja. Ada sampul surat?
“Majlis orang dia kata membazir. Majlis dia ok pula. Kenapa tidak buat sekali dengan rumah terbuka MB. Elok (jika) BERSIH tanya, majlis itu guna dana mana?,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Sanusi menafikan terlibat dalam ikrar sokongan yang dibuat sekumpulan mahasiswa pada majlis jamuan Aidilfitri yang diadakan di kediaman rasminya di Seri Mentaloon, Alor Setar, baru-baru ini.
Tegas Muhamad Sanusi, beliau hanya menyediakan tempat dan makanan, sedangkan aturcara majlis dikendalikan oleh mahasiswa berkenaan.
Majlis yang berlangsung pada 17 April lalu itu adalah anjuran Kerajaan Kedah dengan sokongan Persatuan Mahasiswa Darulaman (Persada) dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis).
Majlis dihadiri pelajar Tingkatan lima dan Tingkatan enam, Program Matrikulasi Malaysia dan mahasiswa universiti diketuai oleh Gamis.
Difahamkan, pada majlis itu, pelajar dan mahasiswa diminta berdiri dan mengucapkan ikrar sokongan kepada Muhamad Sanusi. – Malaysiapost