Melaka galak memakai pelitup muka di tempat awam

KERAJAAN Melaka menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka di tempat awam termasuk di sekolah. 

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem, berkata, mereka yang bergejala Covid-19 digalakkan untuk memakai pelitup muka. 

Katanya, langkah itu seperti saranan Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai salah satu usaha mengekang penularan Covid-19 di Melaka walaupun kes jangkitan harian dilaporkan semakin berkurang.

“Melaka akan mengikuti saranan, garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan atau dikeluarkan KKM sekiranya ada. Setakat ini, pemakaian pelitup muka di tempat awam hanya disarankan, bukan diwajibkan.

“Namun sekiranya dalam masa terdekat, pemakaian pelitup muka diwajibkan, maka kita akan mengikuti SOP itu,” katanya dipetik BH, hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidifitri Kerajaan Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka, hari ini.

KKM sebelum ini mengesyorkan pemakaian pelitup muka dilaksanakan semula di semua sekolah berikutan kebimbangan peningkatan kembali kes Covid-19, selain penularan varian baharu dikenali sebagai XBB.1.16 atau Arcturus. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights