PERIKATAN Nasional (PN) Selangor mengesahkan tidak pernah berbincang menyenaraikan Khairy Jamaluddin sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata, spekulasi mendakwa bekas Ketua Pemuda Umno itu akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) disifatkan hanyalah khabar angin semata-mata, lapor Sinar Harian.
“Ini semua kemungkinan dan tidak ada pengesahan pun Khairy bertanding dalam PRN Selangor.
“Malah, di peringkat PN negeri, kita tidak pernah bincang sama ada KJ sertai PAS atau Bersatu,” katanya.
Bagaimanapun, Roslan Shahir berkata, PN sentiasa bersedia jika mana-mana bekas pemimpin Umno untuk bersama-sama membantu menewaskan Pakatan Harapan (PH) di negeri tersebut.
Ditanya sekiranya Khairy ada menyatakan hasrat menyertai PAS, Roslan Shahir berkata, bekas Menteri Kesihatan itu perlu mengemukakan sebarang permohonan kepada PAS Pusat.
“Sekiranya ada arahan (daripada PAS Pusat) kita terima. Setakat ini tiada,” katanya
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan Khairy bakal bertanding di salah satu kerusi DUN di bawah Parlimen Sungai Buloh, sekiranya beliau menerima tawaran Bersatu untuk menyertai parti itu sebelum PRN akan datang. – Malaysiapost