Amanah minta maaf kepada Umno

PARTI Amanah hari ini memohon maaf kepada Umno susulan kenyataan seorang pemimpinnya yang merayu Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata parti itu pada masa sama tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap pemimpinnya, Khalid Abd Samad yang mengeluarkan kenyataan tersebut.

“Amanah minta maaf pada Umno pasal kenyataan Khalid Samad.

“Beliau tak perlu dirujuk ke lembaga disiplin parti, memadai bila amanah sudah mohon maaf,” katanya.

Ditanya pendirian Amanah terhadap permohonan Umno berkaitan pengampunan Najib, Salahuddin berkata, setiap individu mempunyai hak untuk memohon demikian.

“Ia jelas bagi saya hak asas bagi seorang yang dikenakan hukuman dan saya pun pernah dikenakan hukuman oleh makhamah dan penjara.

“Itu hak kita untuk meminta pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Kelmarin Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Amanah berkata, pengampunan untuk Najib akan menghantar mesej sangat tidak baik kepada rakyat, sistem keadilan negara dan seluruh dunia berhubung sikap serta pendirian terhadap rasuah dan salah guna kuasa.

Ujarnya, perkara itu akan merosakkan imej dasar Membangun Malaysia Madani yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Susulan itu Umno Kelantan tidak menolak kemungkinan mempertimbang untuk memutuskan hubungan dengan Amanah.

Umno Kelantan mendesak supaya Khalid yang juga Pengerusi Amanah Kelantan membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataannya.-Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights