Bayi melecur tersiram kuah kacang panas dimasak ibu

HASRAT seorang ibu membekalkan kuah kacang yang dimasak kepada ahli keluarga bertukar tragedi, apabila juadah yang masih panas itu tersiram bayi perempuannya berusia 17 bulan di Kampung Bukit Gading di Tanah Merah, Kelantan.

Akibat kejadian itu, Nur Armel Belindha Irme dilapor melecur 10 peratus pada bahagian perut, paha, kaki dan sebahagian muka dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam, kelmarin.

Ibunya, Noor Amnie Syazwanie Azman, 26, berkata dia sedang menyiapkan kuah kacang yang baru siap dimasak untuk dibekalkan kepada seorang ahli keluarga, lapor Berita Harian.

“Kuah kacang yang masih panas itu saya masukkan ke dalam bekas dan diletakkan di atas meja. Anak datang menghampiri secara tiba-tiba dan terus mencapai bekas itu dan kuah kacang yang masih panas itu tersiram ke seluruh tubuhnya.

“Dia terus meraung dan dalam keadaan panik, saya mendukungnya ke bilik mandi untuk membersihkan kotoran itu sebelum bergegas ke hospital,” katanya.

Noor Amnie berkata, dalam perjalanan ke Hospital Tanah Merah, sekitar tubuh anak bongsu daripada dua beradik itu sudah kemerah-merahan dan ada yang menggelembung dan mangsa tidak menangis kesakitan.

“Dia dirawat di zon kecemasan beberapa jam sebelum dipindahkan ke wad biasa. Doktor memberitahu anak saya melecur 10 peratus dan lukanya perlu dibalut bagi mengelakkan jangkitan kuman.

“Setakat ini, kami tidak dimaklumkan bila dia dibenarkan pulang. Apa yang penting sekarang adalah anak sembuh dan harap kejadian ini menjadi pengajaran buat orang lain,” katanya. – Malaysiapost

Gambar sekadar Hiasan.

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights