PEMUDA Umno akan menghantar surat rasmi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meminta Perdana Menteri menilai semula jumlah peruntukan yang diberi kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).
Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata pihaknya juga menuntut penambahbaikan secara konstruktif dapat dilakukan dalam menyalurkan peruntukan bantuan kepada sekolah aliran berkenaan.
“Kita tidak mempertikaikan siapa yang wajar atau tidak diberi peruntukan kerana pendidikan adalah aset utama negara.
“Tetapi apa yang dipersoalkan adalah jumlah peruntukan yang disalurkan secara purata mestilah lebih adil dan munasabah,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Dr Muhamad Akmal berkata, tidak mungkin SMPC sebagai sebuah institusi pendidikan swasta mendapat peruntukan secara purata sama rata, tetapi institusi pendidikan Islam yang dijamin dalam Perlembagaan adalah sebaliknya.
“InsyaAllah Pemuda Umno akan menghantar surat secara rasmi kepada Perdana Menteri untuk beliau menilai semula jumlah peruntukan yang diberi dan penambahbaikan secara konstruktif dapat dilakukan,” katanya.
Dr Muhamad Akmal berkata, sekiranya peruntukan kepada SMPC tidak boleh dikurangkan atau dinilai semula, maka adalah wajar kerajaan menaikkan peruntukan kepada institusi pendidikan agama.
“(Ia wajar) agar pembahagian secara purata yang lebih adil dan munasabah dapat dilakukan.
“Perkara ini diperjuangkan bukan atas dasar sentimen dan kepentingan politik. Ia adalah soal hak dan keadilan, kepentingan sejagat,” katanya.
Sebelum ini, Pemuda Umno menggesa kerajaan menyemak kadar peruntukan purata bantuan yang disalurkan kepada SMPC dan Sekolah Agama (SA) supaya ia dapat diseragamkan.
Dr Muhamad Akmal berkata, agihan peruntukan bagi kedua-dua jenis sekolah ini jelas menimbulkan beberapa persoalan dari segi purata jumlah diberikan.
Kenyataan itu sebagai mengulas peruntukan RM15.7 juta diluluskan Perdana Menteri bagi SMPC dan RM150 juta diperuntukkan kepada sekolah tahfiz serta institusi pondok.
Beliau berkata, jika dilihat secara terperinci, RM150 juta diperuntukkan bagi 1,276 sekolah berdasarkan institusi sekolah agama berdaftar, sekali gus bermakna setiap satu sekolah hanya mendapat RM117,500 saja.
Bagaimanapun, beliau berkata, peruntukan RM15.7 juta bagi SMPC itu diagihkan kepada 63 sekolah dengan setiap sekolah mendapat bantuan RM250,000. – Malaysiapost