Pengampunan Najib: ‘Umno perlu hormati pendirian Amanah’ – Khalid

UMNO perlu menghormati pendirian Amanah mengenai isu pengampunan diraja terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad, berkata pendirian parti itu menolak pengampunan diraja ke atas Najib sepatutnya tidak menejaskan kesepakatan dalam Kerajaan Perpaduan yang dianggota oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, dasar hormat menghormati dan kesepakatan untuk memelihara negara perlu diutamakan berbanding persoalan perbezaan pendapat berhubung isu-isu khusus seperti pengampunan terhadap Najib.

“Kita akui Najib adalah individu berjasa bagi Umno, jadi kita menghormati pendirian mereka (gesaan membebaskan Najib).

“Tetapi mereka perlu menghormati pendirian kita yang berbeza terhadap Najib dan untuk tidak mengampunkan Najib,” katanya seperti dilapor Harapan Daily.

Justeru, Khalid berkata, pihaknya meminta maaf sekiranya pandangan parti itu terhadap Najib adalah berbeza, namun ia adalah hakikat yang perlu diketahui umum.

“Saya difahamkan ada di kalangan pimpinan dan ahli Umno merasa terluka-hati apabila kenyataan saya dikeluarkan.

“Bukan niat saya untuk melukakan hati mana-mana pihak tetapi sekadar menyatakan pandangan kami dalam isu yang penting ini,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan Kerajaan Perpaduan terdiri daripada blok parti yang mempunyai perbezaan pemahaman politik, prinsip ‘agree to disagree’ perlu dirai bagi mengukuhkan kerjasama dan kesepakatan memulihkan negara.

“Kerjasama ini terdiri daripada pelbagai parti dan kita berkongsi satu citra yang lebih besar iaitu pentabiran yang bersih, cekap dan berkesan serta keselesaan rakyat.

“Oleh itu, persamaan tersebut perlu mengatasi perbezaan dalam isu-isu tertentu,” katanya.

Kelmarin, Amanah merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan agar menolak permohonan Najib untuk diampun dan dibebaskan dari penjara.

Amanah berpendirian, hanya dengan cara itu sahaja nama baik negara dan komitmen untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa dapat dijaga.

Semalam, Umno Kelantan tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan untuk memutuskan hubungan Amanah susulan tindakan parti itu merayu Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan pengampunan terhadap Najib.

Susulan itu, Umno Kelantan mendesak supaya Khalid yang juga Pengerusi Amanah Kelantan membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataannya itu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights