Zahid hadir majlis rumah terbuka Tok Mat

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, hari ini.

Ahmad Zahid tiba di majlis yang diadakan di Kampung Tanjung dekat Rantau, Negeri Sembilan kira-kira jam 10.15 pagi.

Beliau disambut Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau dan isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin.

Lebih 5,000 tetamu terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat hadir memeriahkan majlis tersebut yang bermula jam 10 pagi itu.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar.

Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid berkata, beliau memulakan hari ke sembilan Syawal hari ini, dengan memenuhi jemputan ke Rumah Terbuka Aidilfitri Mohamad.

“Meriah sambutannya. Enak makanannya dengan menu yang pelbagai. Suasana Hari Raya masih meriah,” tulisnya.

Sementara itu, Mohamad berkata, beliau berterima kasih kepada semua yang hadir ke majlis tersebut selepas hampir tiga tahun ia tidak diadakan kerana pandemik Covid-19 sebelum ini.

“Apapun, saya bersyukur ramai yang hadir, terima kasih juga sanak saudara, rakan-rakan dan orang kampung yang datang membantu menjayakan jamuan hari raya ini.

“Semuanya kami masak bersama-sama. Menunya hari ini memang istimewa, selain rendang, pajeri nanas, gulai tulang juga ada gulai perut lembu dan rebung. TPM hadir majlis rumah terbuka Tok Mat semuanya juadah istimewa masakan kampung,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights