BEKAS Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar mengesahkan anaknya, Nurul Syazwani sudah menyertai Parti Bersatu sejak Februari lalu.
Malah, anak bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu juga kini memegang jawatan dalam sayap parti itu selepas menyertainya.
“Saya tidak menghalang, itu kehendak dia, dia masuk Bersatu Tanjong Karang Februari lalu dan sekarang telah dilantik menjadi Ketua SriKandi Muda Tanjong Karang,” katanya memetik laporan MalaysiaGazette.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa anak perempuan Noh dijangka bertanding dalam PRN Selangor, namun di bawah tiket Bersatu.
Nurul Syazwani dikatakan akan bertanding di salah sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Tanjong Karang.
Dalam pada itu, Noh juga mengesahkan bahawa anaknya itu tersenarai sebagai salah satu calon yang akan bertanding dalam PRN Selangor menggunakan tiket Bersatu.
“Dia bertanding atau tidak itu terserah kepada pucuk pimpinan PN, tapi yang saya dimaklumkan dia salah seorang tersenarai.
“Tapi kalau dia bertanding tentu saya akan sokong dia,” katanya. – Malaysiapost