AMERIKA Syarikat (AS) merakamkan penghargaan terima kasih kepada Malaysia kerana membantu membawa keluar dua rakyatnya ketika proses evakuasi rakyat Malaysia dari Sudan, baru-baru ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata, penghargaan itu disampaikan sendiri Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.
“Saya menerima panggilan telefon daripada Antony, Setiausaha Negara AS hari ini. Ia panggilan telefon kali pertama di antara saya dan Setiausaha Negara AS sejak Disember 2022.
“Setiausaha Negara AS secara khusus merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas bantuan membawa keluar dua warga AS semasa proses evakuasi rakyat Malaysia dari Sudan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zambry berkata, usaha dilakukan Malaysia diketuai oleh Wisma Putra jelas membuktikan bantuan diberikan tanpa mengira warganegara itu begitu dihargai, apatah lagi sehingga mereka sanggup berhadapan dengan risiko keselamatan yang tinggi.
“Saya dan Setiausaha Negara AS seterusnya bertukar- tukar pandangan mengenai kerjasama dua hala seperti peluang kerjasama perdagangan dan pelaburan, pertukaran lawatan, ekonomi digital, dan perubahan iklim.
“Kami juga turut membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” katanya.
Zambry berkata, kedua-dua pihak juga sepakat untuk terus melaksanakan usaha memperkukuhkan Perkongsian Komprehensif Malaysia-AS.
“Semoga hubungan antara Malaysia-AS dapat terus kekal dan mencapai tahap yang lebih tinggi dalam konteks dua negara dalam pelbagai bidang,” katanya.
30 rakyat Malaysia yang dikeluarkan dari lokasi konflik di Sudan, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jumaat lalu.
Usaha membawa keluar rakyat Malaysia menerusi misi menyelamat oleh Pasukan Khas Ops Sudan turut membabitkan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Malaysiapost