DOKTOR perubatan yang juga pempengaruh media sosial, Dr Malar Santhi Santherasegapan menerima Anugerah Pekerja Contoh sempena Hari Pekerja 2023.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2023 yang berlangsung di Putrajaya, hari ini.

Dr Malar yang juga doktor di Jabatan Kecemasan Hospital Columbia Asia, Cheras, Selangor, melahirkan rasa syukur dengan anugerah itu yang boleh dijadikan sebagai pemangkin semangat untuk terus berkongsi tips kesihatan berguna kepada rakyat di negara ini.
Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk dalam berkongsi tips kesihatan terutama menerusi media sosial.
“Saya mahu terus berkongsi maklumat kesihatan kepada orang ramai dengan cara paling mudah, santai dan senang difahami menerusi media sosial,” katanya.
Beliau yang dikenali di media sosial dengan ‘Celoteh Dr Malar’ itu melahirkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan di atas penghargaan berkenaan.
“Saya juga berterima kasih kepada insan di sebalik Celoteh Dr Malar termasuk ibu bapa, suami serta dua pengurus,” katanya.

Menurutnya, anugerah itu kerana khidmat doktor yang diberikan bukan sahaja ketika bertugas di hospital, malah di luar waktu bekerja dengan menjalankan tanggungjawab tanpa mengira waktu.
Celoteh Dr Malar mendapat sambutan di semua platform media sosial terutama di Facebook dan TikTok serta dikenali ramai di sejak Mac 2020 selepas beliau aktif berkongsi tips mengenai Covid-19 dan vaksin.
Lebih menarik, perkongsian itu disampaikan dalam bahasa Melayu sekali gus menarik perhatian semua golongan masyarakat di negara ini selain disampaikan dengan cara yang lebih mudah difahami.
Dr Malar berkata, beliau sedar rakyat dahagakan maklumat kesihatan dalam Bahasa Melayu dengan cara penyampaian yang lebih mudah. – Malaysiapost