KERAJAAN memberi jaminan akan menilai semula isu gaji penjawat awam terutama di peringkat rendah yang dilihat tidak memuaskan ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merupakan komitmen kerajaan bagi memastikan semua nasib penjawat awam di negara ini terus terbela walaupun mengambil alih negara dalam keadaan kewangan yang parah.
“Saya tahu upah gaji terutama penjawat awam peringkat rendah sangat tidak memberangsangkan, sudah sampai kita buat penilaian semula.
“Ini jaminan saya, kita bagi komitmen ambil alih dalam keadaan kewangan yang sangat parah, hutang (negara) berjumlah RM1.5 trilion,” katanya berucap pada Sambutan Hari Pekerja 2023, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.
Anwar turut meminta penjawat awam memberikan sedikit masa bagi menyelesaikan isu upah penjawat awam.
“Bagi saya tempoh setahun, kalau ada trend peningkatan hasil, yang pertama (akan dilaksanakan) adalah upah penjawat awam.
“Selain itu, segala bonus atau apa saja kemudahan, termasuk kesihatan, yang harus dibantu, kita akan segerakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga mahu badan pekerja seperti Kongres Kesatuan Sekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) diuruskan dengan lebih cekap.
Menurutnya, pihaknya dimaklumkan bahawa pelaksanaan gaji mininum di negara ini juga sukar dilaksanakan dengan baik.
“Saya dengar pelaksanaan gaji minimum sukar dan wujud hiruk-pikuk. Saya mengarahkan agar perbincangan gaji mininum itu dibincangkan pada mesyuarat Kabinet bulan depan,” katanya.
Pada majlis sama, Anwar turut mengumumkan dana RM1 juta masing-masing kepada MTUC dan CUEPACS bagi memperkemaskan pengurusan badan supaya lebih cekap.
Sementara itu, Anwar berkata, Jemaah Menteri dijangka membincangkan cadangan mengenai tambahan peratusan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus waktu ini.
Beliau mengesahkan bahawa cadangan itu pernah dikemukakan, namun, ia belum dirujuk kepada Jemaah Menteri.
“Cadangan itu ada dibawa (dikemukakan), tapi belum dirujuk kepada Jemaah Menteri lagi.
“Ia akan dibincangkan. Ini (cadangan) keputusan dasar, jadi, ia akan memberi kesan kepada kerajaan dan majikan,” katanya.
Sebelum ini, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menggesa kerajaan untuk menaikkan kadar caruman KWSP bahagian majikan daripada 13 peratus kepada 20 peratus. – Malaysiapost