Jangan keluar rumah jika tiada keperluan

ORANG ramai khususnya kanak-kanak dan golongan berisiko dinasihatkan supaya tidak keluar rumah jika tiada keperluan, nasihat Dr Zaliha Mustafa. 

Menteri Kesihatan itu berkata demikian bagi mengelakkan mereka diserang strok haba berikutan cuaca panas melanda negara ketika ini. 

Menurutnya, kes serangan strok haba di seluruh negara ketika ini masih terkawal, namun orang ramai perlu menjaga kesihatan dan tidak keluar rumah jika tiada keperluan.

“Memang kita ada dengar kes strok haba beberapa hari lalu, membabitkan kanak-kanak 11 tahun dan 19 bulan, namun kes ini masih terkawal.

“Namun, kita nasihatkan orang ramai khususnya kanak-kanak dan golongan dewasa yang berisiko supaya menjaga kesihatan dan tidak keluar rumah jika tiada keperluan.

“Kementerian memantau perkembangan perkara ini setiap hari,” katanya selepas mengadakan lawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di Kangar, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan mengenai kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang maut ,dipercayai mengalami serangan strok haba di Kampung Perupok, Bachok, Kelantan.

Selain itu, satu lagi kes turut dilaporkan berlaku di Kampung Kota, Kelantan, membabitkan seorang kanak-kanak berusia 19 bulan yang maut, dipercayai akibat strok haba.

Sementara itu, mengulas peningkatan kes Covid-19, Dr Zaliha berkata, pihaknya menggalakkan murid yang akan memulakan sesi persekolahan esok supaya mengamalkan pemakaian pelitup muka bagi mengekang jangkitan virus itu.

“Sekiranya murid bergejala, kita minta ibu bapa untuk memantau perkembangan anak mereka. Jika tidak perlu hadir ke sekolah selepas berjumpa doktor, maka tindakan (tidak pergi ke sekolah) itu haruslah diambil,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights