‘Langkah Sheraton’ tak mungkin berulang

‘Langkah Sheraton’ tak mungkin berulang

“LANGKAH Sheraton” sukar untuk berlaku sekali lagi meskipun ada usaha untuk menumbangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Prof Datuk Mohammad Agus Yusoff.

Jelasnya, dakwaan bahawa rakyat bosan dengan kepimpinan Anwar dan Perdana Menteri harus segera ditukar sekadar gosip pembangkang.

“Sakan benci dan marahnya sesetengah orang pada Anwar, timbul gosip mahu menjatuhkan Anwar sebagai PM atas alasan rakyat sudah bosan dengan beliau.

“Siapa yang bosan dan kenapa bosan saya tidak tahu, tetapi itulah yang selalu diratibkan oleh pihak yang tidak menyokong Anwar.

“Nasihat saya, hentilah serangan ke atas Anwar dan kerajaan perpaduan. Tidak ke manapun serangan yang emosi ini. Sukar untuk Langkah Sheraton berlaku lagi.

“Kerajaan ini telah kukuh dengan majoriti yang ada. Rakyat pun sudah bosan dengan politik pembangkang kerana mereka dambakan kestabilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini terdapat beberapa khabar angin yang mendakwa Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar akan tumbang.

Ia termasuk dakwaan 15 Ahli Parlimen BN dijangka akan bertindak melepaskan jawatan dan keluar parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

Bagaimana kelmarin, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan sokongan Ahli Parlimen parti itu akan kekal menyokong Anwar.

Dalam pada itu, Mohammad Agus menyeru pembangkang supaya menjalinkan hubungan baik dengan kerajaan bagi membolehkan segala urusan ferderalisme berjalan lancar.

“Jalinkanlah hubungan baik dengan kerajaan pusat bagi membolehkan sistem federalisme berjalan lancar. Jika mahukan peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat parlimen tanpa mengira parti, berundinglah dengan kerajaan pusat.

“Anwar sudah berkali-kali menyatakan kesediaan beliau untuk berbuat demikian, tinggal lagi pemimpin pembangkang perlulah datang berunding mengenainya. Itulah yang dilakukan oleh Anwar sewaktu beliau menjadi ketua pembangkang, beliau datang berunding dengan PM waktu itu.

“Hasilnya termeterailah MoU Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan persekutuan dan PH pada 13 September 2021,” katanya lagi.- Malaysiapost

Komen