Lembaga Pengampunan belum bincang rayuan Najib

LEMBAGA Pengampunan belum membincangkan rayuan pengampunan yang dikemukakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada sesi mesyuarat yang berlangsung Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata permohonan yang dikemukakan Najib akan dibincang pada masa yang sesuai.

“Urusetia Lembaga Pengampunan juga ingin memaklumkan bahawa kertas rayuan pengampunan Najib Abdul tidak dapat dibawa pada mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ini.

“Sebaliknya, kertas berkenaan akan dipertimbangkan pada masa yang sesuai mengikut perundangan dan peraturan-peraturan yang terpakai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, berkata pada mesyuarat yang berlangsung di Istana Negara itu sebanyak 10 kes dipertimbangkan di bawah Peraturan 54 dan Peraturan 113 Akta Penjara 2000.

“Mengikut Perkara 42, Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri pula berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam negeri-negeri tersebut,” katanya lagi.

Sebelum ini Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan untuk mengemukakan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon ihsan baginda supaya memperkenan permohonan pengampunan yang dikemukakan Najib.

Umno yang kini menjadi parti penting dalam pentadbiran Anwar telah memfailkan petisyen untuk memohon pengampunan terhadap Najib.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabit bersalah atas tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights