LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan pembayaran ‘hutang’ mereka dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) kini dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka dapat diselesaikan tahun ini.
Presidennya, Datuk Ab Ghani Hassan menjelaskan pembayaran wang kemenangan bagi musim 2020 yang dilakukan secara berperingkat turut dipersetujui oleh pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Penangguhan pembayaran wang kemenangan pada musim 2020 sudah dipersetujui oleh pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mana memahami kekangan kewangan MFL yang kehilangan wang tajaan kira-kira RM30 juta akibat pandemik Covid-19.
“Bagaimanapun, penangguhan pembayaran bagi musim itu hanya melibatkan JDT sahaja dan tidak ada sebarang tunggakan dengan pasukan lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Jumlah pembayaran akhir itu bagaimanapun tidak didedahkan kerana ia antara MFL dan kelab JDT.
Sebelum ini, Tunku Ismail berharap denda susulan tindakan penyokong membakar suar di Stadium Sultan Ibrahim selepas aksi JDT dapat ditolak daripada hutang lama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan pasukan itu.
JDT dikatakan bakal dikenakan denda apabila tiga kali membakar suar dalam saingan Liga Super.
Bagaimanapun, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menafikan badan induk itu mempunyai hutang dengan skuad Harimau Selatan itu.
Sebaliknya, Hamidin menjelaskan kemungkinan bahawa MFL yang masih ada hutang dengan juara sembilan kali berturut-turut Liga Super itu membabitkan wang kemenangan. – Malaysiapost