Muda perangi gerakan ‘selamatkan’ Najib

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berpendirian permohonan pengampunan diraja terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, harus ditolak.

Justeru, Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda yang menyifatkan Najib sebagai seorang ‘kleptokrat’ berkata, parti itu akan terus memerangi mana-mana gerakan untuk membebaskan Najib.

“Ini merupakan pendirian rasmi parti yang membantah sebarang gerakan untuk menyelamatkan mana-mana kleptokrat yang telah menyusahkan dan menggadai negara.

“Pengampunan Najib yang didapati bersalah terhadap bukan satu tetapi tujuh pertuduhan bakal memberikan mesej yang salah kepada rakyat Malaysia.

“Adakah rakyat biasa yang didapati bersalah atas jenayah yang sama adakah mereka juga akan diberi keistimewaan ini?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad merayu Yang di-Pertuan Agong supaya menolak permohonan pengampunan dikemukakan bekas Presiden Umno itu.

Kenyataaan itu mengundang rasa kurang senang pemimpin Umno sehinggakan Umno Kelantan menyatakan kesediaan untuk memutuskan hubungan dengan Amanah Kelantan yang dipimpin Khalid.

Semalam, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Salahuddin Ayub mewakili Amanah mengemukakan permohonan maaf berhubung kenyataan yang dikeluarkan Khalid mengenai pengampunan Najib.

Mengulas lanjut, Muda berkata, pengampunan ke atas Najib tatkala baru saja menjalankan hukuman akan membawa mesej bahawa mana-mana individu berpengaruh, mempunyai hubungan kuasa tidak perlu gusar dengan undang-undang.

“Ini bercanggah dengan prinsip rukun negara iaitu kedaulatan undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Muda berkata, pihaknya akan terus memerangi mana-mana gerakan yang mahu menyelamatkan kleptokrat termasuk pihak yang cuba mencabar integriti badan kehakiman negara.

“Sekali lagi kami ingin menjelaskan bahawa ini adalah pendirian rasmi parti dan bukan pandangan atau pendapat peribadi individu di dalam parti.

“Dan kami tidak bercadang untuk memohon maaf atas pendirian ini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights