KERAJAAN diminta mempertimbangkan menyerap kira-kira 30,000 kakitangan awam kontrak yang sudah berkhidmat antara 10 hingga 15 tahun secara ‘one off’ ke dalam sektor awam.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, ia berikutan pihaknya menerima aduan daripada kakitangan kontrak berkenaan isu itu.
Malah, katanya, perkara itu sudah pun dibincangkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Menurutnya, satu dasar berhubung kakitangan kontrak sudah diluluskan kerajaan bagi membolehkan mereka diberi jawatan tetap apabila sudah berkhidmat 15 tahun ke atas.
“Namun, agak malang apabila sebahagian daripada mereka yang sudah berkhidmat melangkaui 10 tahun secara tiba- tiba tidak disambung dan ditamatkan perkhidmatan.
“Kakitangan yang ditamatkan perkhidmatan ini sebenarnya mampu untuk berkhidmat lima tahun lagi untuk diserapkan ke jawatan tetap,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Pekerja CUEPACS 2023 di Auditorium Cempaka Sari, Perbadanan Putrajaya, hari ini.
Justeru, Adnan berharap kerajaan dapat meneruskan inisiatif berkenaan dengan melantik mereka sebagai kakitangan tetap selepas berkhidmat 10 hingga 15 tahun. – Malaysiapost