Budak 12 tahun pula dikatakan maut strok haba

SEORANG lagi kanak-kanak dipercayai maut akibat strok haba dan kes terbaru membabitkan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di Kluang, Johor yang dilaporkan meninggal dunia semalam.

Airiel Syahren Syahrol disahkan meninggal dunia oleh doktor akibat ‘septic shock secondary to meningoencephalitis’ di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang kira-kira jam 7 pagi.

Memetik laporan Harian Metro, bapanya, Syahrol Azmi Mohd Hekak, 42, berkata anak kedua daripada empat beradik itu mengalami simptom demam, kekejangan otot, muntah, terkencing, terberak dan meracau kira-kira jam 10 malam Ahad lalu.

Katanya, pada mulanya Airiel Syahren termasuk adik lelakinya berusia sembilan tahun dan ibu mereka mengalami demam biasa.

“Pada malam kejadian dia mengejutkan saya dan menyuruhnya tidur di ruang tamu mungkin kerana di bilik itu sejuk.

“Selepas itu saya dengar macam bunyi benda jatuh dan kemudian saya dapati dia mengalami kekejangan di ruang tamu,” katanya.

Menurut Syahrol, dia menghubungi talian 999 sebelum disambungkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.

“Pihak hospital ada tanya, apakah anak saya ada sawan? Lagilah saya panik, tetapi pihak hospital beritahu supaya mengiringkan badan anak saya itu, jangan bagi dia makan atau minum dan tunggu ambulans sampai.

“Dalam tempoh itu, anak saya meronta-ronta sampai terberak, terkencing dan seperti menahan kesakitan. Adiknya juga mengalami perkara sama tetapi dalam beberapa minit sahaja,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bentong di sini.

Katanya, jam 7 pagi, dia mendapat panggilan daripada petugas HEBHK supaya membeli lampin pakai buang buat anaknya namun tidak lama kemudian dia mendapat panggilan kedua yang menyuruhnya segera datang ke wad.

“Ketika meninjau di katil anak, saya terkejut kerana anak saya sedang dipam di dadanya oleh kakitangan di situ.

“Kemudian dua doktor memanggil saya ke bilik mereka dan menerangkan anak saya mengalami simptom strok haba hingga menyebabkan buah pinggang terjejas, X-ray dadanya berwarna putih selain terkena radang otak,” katanya.

Beliau tidak menyangka anak yang disifatkan sebagai pendiam, suka tersenyum dan ringan tulang membantu keluarga itu, pergi terlalu cepat.

“Jangan ambil mudah jika anak-anak anda mengalami demam, jangan fikir lagi soal ada duit atau tidak, segera hantar mereka mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.

Katanya, anak ketiganya, Aidil Syahren, 9, kini sudah stabil dan masih berada di wad HEBHK.

“Anak saya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bentong selepas Zohor,” katanya.

Sebelum ini tular dalam media sosial mengenai kematian dua kanak-kanak yang meninggal dunia di Kelantan dikatakan akibat stroke haba.

Bagaimanapun punca kematian dua kanak-kanak berusia 11 dan setahun tujuh bulan yang dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat strok haba masih lagi dalam siasatan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights