Budak meninggal dunia bukan kerana strok haba

Budak meninggal dunia bukan kerana strok haba

KES kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di Kluang tiada kaitan dengan strok haba.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Mohtar Pungut @ Ahmad yang berkata, kanak-kanak tersebut telah dimasukkan ke wad kerana sawan selepas mengalami demam panas sehari sebelum dan mempunyai gejala batuk selama tiga hari.

“Terlebih dahulu pihak Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

“Adalah dimaklumkan siasatan yang telah dijalankan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang mendapati bahawa kematian telah disahkan sebagai Septic Shock secondary to Meningoencephalitis, dan tiada kaitan dengan Strok Haba seperti dilaporkan dalam media,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mohtar berkata, JKNJ memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di Kluang meninggal dunia kira-kira 7 pagi semalam disyaki mengalami simptom strok haba.

Bapanya, Syahrol Azmi Mohd Hekak, 42, berkata, anak keduanya Airiel Syahren Syahrol, 12, disahkan meninggal dunia oleh doktor akibat ‘septic shock secondary to meningoencephalitis’ di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom. – Malaysiapost

Komen