JAIPs tak beri kerjasama, berlaku pertelingkahan – Ustaz Wadi

JAIPs tak beri kerjasama, berlaku pertelingkahan – Ustaz Wadi

PENDAKWAH bebas, Ustaz Wadi Annuar mendakwa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) tidak memberi kerjasama ketika beliau menghadiri sesi siasatan di JAIPs, hari ini. 

Beliau atau nama sebenarnya Mohamad Wadi Annuar Ayub memaklumkan telah hadir pada jam 10.30 pagi di pintu pagar pejabat JAIPs bersama barisan peguam untuk sesi siasatan berkenaan.

Bagaimanapun, Ustaz Wadi berkata, berlaku pertelingkahan apabila hanya seorang peguam dan dirinya sahaja dibenarkan masuk.

“Apabila berhujah, mereka mengatakan bahawa enakmen mereka tidak membenarkan lebih daripada dua orang masuk bagi tujuan siasatan.

“Namun, seorang pegawai JAIPs memaklumkan bahawa dua peguam dan saya dibenarkan masuk selepas mendapat arahan daripada pihak atasannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Ustaz Wadi turut mendakwa, mereka dibiarkan menunggu beberapa ketika selepas masuk di bahagian penguatkuasa sebelum dipanggil ke dalam bilik siasatan.

“Telah berlaku lagi pertelingkahan antara dua pegawai JAIPs dengan barisan peguam lalu mereka telah mengarahkan peguam keluar dari bilik siasatan, yang mana perkara ini dibantah oleh saya,” katanya.

Ustaz Wadi menjelaskan, tiada apa-apa soalan dikemukakan dalam tempoh kira-kira setengah jam menunggu, sekali gus ia hanya membuang masa peguam serta dirinya.

Katanya, sehingga jam 11.30 pagi, beliau keluar tanpa sebarang siasatan daripada dua pegawai JAIPs.

Difahamkan, Wadi Annuar bersama dua peguamnya, Mohd Jamil Yaacob dan Mohamad Kamarulzaman Jusoh tiba sekitar jam 10 pagi sebelum dibenarkan memasuki pejabat JAIPs sekitar jam 10.30 pagi.

Beliau hadir untuk sesi keterangan berhubung penyertaannya pada satu program yang diadakan di Markaz Tarbiyah PAS Kawasan Kangar, Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang pada 28 Mac lalu tanpa mendapat tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis. – Malaysiapost

Komen