Kalau tak mahu kena tegur, jangan merokok di tempat awam – Syed Saddiq

Kalau tak mahu kena tegur, jangan merokok di tempat awam – Syed Saddiq

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman terpanggil untuk membidas sikap mementing diri oleh segelintir perokok yang tetap berdegil merokok di tempat awam khususnya kedai makan.

Beliau seterusnya mengajak orang ramai menegur golongan yang tanpa rasa bersalah merokok di kawasan larangan demi kesejahteraan semua.

“Tak menjadi satu kesalahan pun kalau kita tegur orang merokok di tempat awam, malah saya lagi galakkan untuk kesejahteraan kesihatan kita semua.

“Kalau tak nak orang tegur atau report ke KKM, saya sarankan hisap rokok tu kat rumah atau tempat tertutup,

“Jangan jadikan orang lain mangsa kena hirup udara tak segar sebab anda,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Beliau merujuk kepada isu tular seorang lelaki yang berang ditegur seorang remaja lelaki ekoran didakwa merokok di sebuah kedai makan, baru-baru ini.

Pengguna Twitter, bckupacc99 yang berkongsi video berdurasi 47 saat itu berkata, lelaki berbaju kemeja T berkolar tersebut ‘naik angin’ apabila ditegur.

Ujarnya, lelaki yang sudah berumur tersebut mendatanginya di meja makan sebelum dia dimarahi selain turut mempersoalkan tindakan menegurnya.

“Awak ni pegawai apa? Pekerja kat kedai ni pun tak berani nak tegur sayalah,” kata lelaki tersebut sebelum berlaku pertikaman lidah antara kedua-duanya.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq yang juga Presiden MUDA berkata sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, semua ada hak untuk suarakan rasa tidak selesa jika ada yang merokok di tempat terbuka.

“Boleh tegur secara sopan, tapi macam mana kalau tegur baik-baik pun tak jalan?

“Buat aduan kepada KKM. Ingat, jadilah warganegara yang bertanggungjawab,” katanya lagi. – Malaysiapost

Komen