TIGA kru sebuah kapal tangki dilaporkan masih hilang, manakala 25 lagi berjaya diselamatkan selepas kapal berkenaan terbakar pada kedudukan 37.5 batu nautika timur laut di Tanjung Sedili, Johor, semalam.
Kejadian berlaku ketika kapal tangki berdaftar di Gabon, Afrika, dikatakan dalam perjalanan dari China menuju ke Singapura bersama 28 kru.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan kejadian itu pada jam 4 petang.
“Susulan itu, sebuah bot ronda Maritim Malaysia Petir 12 diatur gerak ke lokasi kejadian dan berjaya menyelamatkan dua kru kapal tangki tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, seramai 23 kru lain pula berjaya diselamatkan oleh dua kapal yang berada berhampiran lokasi kejadian.
“Manakala baki tiga lagi kru dilaporkan masih hilang dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – Malaysiapost